Rabu, 3 Mac 2010

Istimewanya Solat Dalam Islam


1. Solat adalah tiang agama : Nilai "agama'" bagi seorang hamba diukur dengan kepatuhannya menjadikan ibadat solat sebagai ibadatnya yang paling utama.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : 'Inti penyelesaian semua urusan adalah Islam dan tiangnya adalah solat' (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Sabda Baginda lagi yang membawa maksud : "Solat adalah tiang agama . Sesiapa yang mendirikan solat dia mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat,dia meruntuhkan agama "


2. Solat adalah rukun Islam kedua: selepas ucapan dua kalimah syahadah ,solat adalah kewajipan pertama yang perlu dilunaskan oleh setiap umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Islam itu disempurnakan dengan lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah,mendirikan solat,menunaikan zakat,puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji" (Hadis Riwayat Bukhari,Muslim,Tirmidzi,Nasa'ie dan Ahmad)

3. Solat adalah ibadat yang pertama diwajibkan oleh Allah SWT ke atas setiap muslim mukallaf. Rasulullah SAW menerima perintah supaya mendirikan solat daripada Allah SWT ketika baginda menemui Allah SWT pada malam peristiwa Isra' Mikraj,di mana pertemuan secara langsung tanpa perantaraan malaikat Jibril.

4. Solat adalah ibadat pertama yang akan dihisab di akhirat kelak :Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud : " Sesungguhnya amalan manusia pertama yang akan dihisab pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka beruntunglah dia dan sekiranya buruk ibadat solat maka rugilah ia" (Hadis Riwayat Tirmidzi,An-Nasa'ie,Ibnu Majah ,Ahmad dan Darimi)

5. Solat adalah perkara terakhir yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.
Sewaktu Rasulullah SAW jatuh sakit menjelang kewafatannya baginda berpesan kepada para sahabat. Sabda baginda ; " Ingatlah (solat)....ingatlah solat...

6. Solat adalah kunci pintu syurga : sesiapa yang ingin masuk syurga sudah tentu ada kuncinya,berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Jabir Ibnu Abdullah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : Kunci syurga adalah solat dan kunci bagi solat adalah wuduk"

7. Solat adalah penghubung antara hamba dengan TuhanNya (Allah SWT): Sabda Rasulullah SAW bermaksud : " Diriwayatkan dari Anas ibnu Malik R.A bahawa Rasulullah bersada "Sesungguhnya apabila seorang antara kamu mendirikan solat bererti dia sedang berkomunikasi dengan Allah SWT" (Hadis Riwayat Bukhari)

8. Solat adalah cahaya penerang bagi orang-orang mukmin

"Diriwayatkan dari Anas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda : dan solat itu adalah cahaya penerang seorang mukmin"

9. Solat adalah benteng yang memisahkan seseorang dengan kekufuran
Diriwayatkan dari Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :"Antara seorang hamba dengan kekufuran itu ada batas pemisah iaitu perbuatan meninggalkan solat"
(Hadis riwayat Tirmidzi,Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kepada mereka yang meninggalkan solat,mereka akan mendapat azab yang amat pedih daripada Allah SWT di akhirat kelak iaitu akan dimasukkan ke dalam neraka.



(rujukan utama : buku "Solat dan Keajaibannya" karangan Dato'Haji Ishak Baharom )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan