Isnin, 29 Mac 2010



Cantiknya Seorang Gadis Itu

Cantiknya seorang wanita itu sebagai GADIS
Bukan kerana merah kilauan lipstik
Pada bibir memekar senyuman kosmetik
Tetapi pada keperibadian terpelihara
Kelembutan kesopanan menghiasi jiwa


Cantiknya seorang wanita itu sebagai REMAJA
Tidak pada kulitnya mulus menggebu terdedah
Untuk menggoda pandangan nafsu mata
Tetapi pada kehidupan terjaga
Dari menjdai mangsa tohmahan dunia


Cantiknya seorang wanita itu sebagai HAWA
Tidak kerana bijak meruntun iman kaum Adam

Sehingga turunkan insan ke dunia
Tetapi menjdi pembakar semangat perwira
Menjadi tunjang perjuangan syuhada


Cantiknya seorang wanita itu sebagai ANAK
Tidak menjerat diri pada lembah kedurhakaan

Mengalir mutiara di kelopak mata
Tetapi menjadi penyelamat ibu bapa
Pada hari kebangkitan bermula


Cantiknya seorang wanita itu sebagai ISTERI
Bukan kerana peneraju kerjaya dalam
rumahtangga
Tetapi sentiasa bersama
Menempuh badai disisi suami tercinta

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MENANTU
Bukan kerana kemewahan dimata
Tetapi bijak dalam menjauhi persengkolan
ipar lamai
Menjadi penghibur hati permata kehidupan

Cantiknya seorang wanita itu sebagai IBU
Bukan terletak pada kebangkitan anak
Dalam setiap pertelingkahan
Tetapi dibawah lembayung kejayaan
Membuai anak dikala suami menjalin impian

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MERTUA
Tidak kerana berjaya meruntuh istana
Tetapi jalinan kasih sayang
Tulus hati mengagih kasih setara pada semua

Cantiknya seorang wanita itu sebagai NENEK
Bukan memberi harta dunia
Sehingga generasi lupa
Tetapi menjadi pada pendita
Menjaring teladan para anbia pada anak
bangsa


Cantiknya seorang wanita itu sebagai
WARGANEGARA

Bukan kerana menyandang puncak dunia
Tetapi bijak menangkis rintangan
Peka membela nasib dan maruah negara
Menjadi tulang belakang keteguhan semua

Cantiknya seorang wanita itu sebagai
WARGA TUA

Bukan kerana jernihnya mutiara
Mengalir deras di kelopak mata
Tetapi senantiasa mengumpul cahaya
Menghitung hari dengan selembar nasihat

Cantiknya wanita itu sebagai INTELEKTUALIS
Bukan kerana menjadi sebutan

Sehingga menjulang keegoaan
Tetapi dalam mencari ilmuan
Menyala obor mewangi setanggi profesionalis

Cantiknya wanita itu sebagai MUSLIMAH
Bukan kerana keindahan paras rupa
Sehingga menjadi ingauan mata
Tetapi berpegang Akidah Solehah
Disebalik tirai jiwa
Mengandam rindu kekasih pasrah di atas
sejadah
Mengharap keredhaan kehidupan awana


IsLaM ThE WaY oF LiFe...
Dicatat oleh Akhi Mohamad Aiyad

Sabtu, 27 Mac 2010

Majlis Anugerah Cemerlang Dan Mesyuarat PIBG 2009


27 Mac 2010....telah berlangsung mesyuarat PIBG dan Majlis Anugerah Cemerlang bagi ibubapa guru dan anak-anak cemerlang. Majlis telah dirasmikan oleh wakil Senator Sharifah Azizah binti Syed Zain. Alhamdulillah majlis berjalan lancar dan tamat jam 12.30 tengahari.


Para pelajar cemerlang telah diraikan dalam majlis ini,mudah-mudahan anugerah ini terus menjadi galakan dan dorongan kepada para pelajar untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik,sahsiah dan ko-kurikulum.

Kepada Siti Khadijah,Nazatul Aiffa,Mohamad Haziq Haikal,Nur Aisyah Iftihah,Aliah Nazahah,Nur Naimah Nani dan Nur Nazihah binti Lani,teruskan kecemerlangan anda...kerana anda mampu lakukan yang terbaik untuk diri dan untuk sekolah yang tercinta.Insya'Allah.

Alhamdulilah,Siti Khadijah binti Masran...yang memperolehi 12A (5A+,5A dan 2A-)merupakan pelajar ke-7 terbaik SPM daerah Kluang. Moga kecemrlangan Siti Khadijah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar-pelajar yang lain.Semoga Khadijah berjaya di dalam temuduga untuk melanjutkan pelajaran yang akan dihadiri Isnin. Kami guru-guru amat berbangga dengan kejayaan Khadijah.Ditambah dengan keperibadian Khadijah...Insya'Allah ia akan terus berkekalan dan menjadi "role model" kepada para pelaja SMK.Jalan Kota Tinggi,Kluang.


Pelajar SMK.Jalan Kota Tinggi,sebenarnya mampu menjadi yang terbaik. Hanya tinggal 6 bulan bagi pelajar PMR dan 8 bulan bagi pelajar SPM untuk menyediakan peralatan dan bersiap siaga ke medan pertempuran...menentukan hala tuju kita...kejayaan atau kegagalan. Kegagalan tidak akan datang kecuali jika kita sendiri yang mencari. Kecemerlangan dan kegagalan sebenarnya terletak di tangan kita (usaha,doa dan tawakal)...tanpa usaha...mana mungkin kita akan menemui kejayaan....tetapi kegagalan pasti akan menemani kita...jika tiada usaha yang dilakukan.

Tepuk dada tanya iman...usaha tanpa doa ....beribadat kepada Allah pun..tiada maknanya...sebagai umat Islam....senjata yang paling utama adalah berdoa setelah usaha dilakukan. Jadilah hamba Allah yang sentiasa berusaha mencari kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Keberkatan dan keredahaan Allah itu penting untuk kita menjalani hidup kita sebagai hamba Allah yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaanNya.

Kesempurnaan anggota badan,akal fikiran...semuanya adalah nikmat Allah kepada kita..untuk kita menggunakan segala nikmat semaksimanya...akal dikurniakan kepada kita sebagai alat berfikir...dan pembeza antara kita dengan makhluk Allah yang lain. Maka fikir-fikirkanlah....keistimewaan akal kurniaan Allah ini. Pelihara akal daripada segala kemusnahan....dan kehancuran...tanpa kewarasan akal....kita tidak akan dilabel sebagai manusia yang waras...tetapi....manusia yang GILA....

Maka peliharalah akal dan gunakalah fungsi akal sebagai ....kurniaan yang diguna untuk memikirkan kebesaran dan kekuasaan Allah dan betapa kerdilnya manusia....kerana kita hanya makhluk...yang lemah tiada apa-apa...jika Allah tidak bersifat dengan "ar-Rahman dan ar-Rahim"...betapa kasih dan sayangnya ALLAH kepada kita...tapi malangnya...kita kadang-kadang lupa untuk bersyukur di atas nikmat kurniaanNya.

Sehubungan dengan itu,bersyukurlah kerana kita dilahirkan sempurna...dengan kesempurnaan itu...maka tuntulah ilmu bersungguh-sungguh..menuntut ilmu itu wajib bagi setiap umat Islam...maka barangsiapa yang mensia-siakan peluang menuntut ilmu ini ...maka ia adalah satu dosa...dosa kerana tidak menunaikan kewajipan menuntut ilmu itu sendiri...maka fikir-fikirkanlah selagi akal kita masih boleh berfungsi dengan baik dan waras. Wallahu'alam

Jumaat, 19 Mac 2010

Nilai duit dan harga diri
Ini ada satu kisah yang boleh kita jadikan panduan. Ia berlaku ketika satu sesi motivasi. Sebelum memulakan seminar, Prof. Ibrahim mengeluarkan duit RM100 dari dompetnya. Kemudian wang itu ditayangkan kepada 50 orang pesertanya. .

"Siapa nak duit ni?", tanya Prof Ibrahim. Semua peserta mengangkat tangan. “Saya akan berikan duit ni kepada salah seorang daripada kamu, tapi izinkan saya membuat sesuatu dahulu."

Prof. Ibrahim meramas-ramas duit itu hingga renyuk.

Kemudian dia menunjukkan duit yang sudah renyuk itu dan bertanya :
" Ada sesiapa yang nak duit ni lagi". Hampir semua pelajarnya mengangkat tangan. Prof Ibrahim mengangguk dan mencebikkan bibir.

OK, apa kata kalau saya buat macam ni?". Duit RM100 itu dicampakkan dan ditenyeh-tenyeh dengan kasutnya. Prof Ibrahim memungutnya semula lalu diletakkan di atas meja. Wang kertas itu bukan sahaja renyuk tetapi juga kotor.

"Sekarang siapa nak duit ni?", tanya Prof. Ibrahim. Selesai dia bertanya, lebih separuh daripada jumlah pelajarnya masih mengangkat tangan.

"Haa..apa yang boleh kita kutip daripada peristiwa itu tadi?", tanya Prof. Ibrahim.

Pesertanya hanya diam, dan sesetengahnya hanya menggelengkan kepala. Mereka masih tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh prof Ibrahim.

"Walau apa pun yang saya lakukan pada duit ni, kamu tetap mahukannya. Betul tak? Kamu tahu kenapa? Kerana nilainya tak berubah walaupun dipijak dan ditenyeh dengan kasut. RM100 tetap RM100 walaupun 10 kali dipijak," kata Prof. Ibrahim.

Semua peserta yang mendengar kata-katanya hanya tersenyum.

hidup

Prof. Ibrahim mengaitkan peristiwa itu dengan kehidupan seharian. Sering kali di dalam hidup, setiap orang akan merasai kejatuhan, hati hancur, ataupun dihina. Hinggakan suatu ketika kita akan merasa diri kita tidak berguna langsung.

"Tapi walau apa pun yang telah terjadi, ataupun yang akan terjadi, anda tidak akan hilang harga diri. Bersih atau kotor, renyuk atau licin, anda tetap berharga terutama pada mereka yang disayangi. Harga diri kita bukan datang daripada apa yang kita lakukan atau siapa yang kita kenal tapi siapa sebenarnya kita..." jelas prof Ibrahim.

Rabu, 17 Mac 2010


BOLEH SOLAT FARDU DI QADHA ?

بسم الله الرحمن الرحيم


Solat adalah satu perintah agama yang mempunyai pengkhususan tempoh perlaksanaannya. Ia mempunyai waktu-waktu yang telah sedia diatur dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala, iaitu melalui firmanNya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103]. Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa' manakala apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai al-qadha. Secara lebih mendalam, qadha didefinasikan sebagai - Melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya atau melakukan solat selepas dari waktunya yang telah ditetapkan.[ 1]

Sebab-sebab Membolehkan Solat Diqadha.

Al-Qur'an dan as-Sunnah sememangnya ada mengajar kita tentang perihal menunaikan solat-solat fardhu di luar waktu yang ditetapkan. Akan tetapi kebolehan ini hanya atas beberapa sebab yang juga telah dijelaskan secara terperinci oleh kedua sumber syari'at tersebut, iaitu:

1. Apabila seseorang itu tertidur sehingga luput waktu solatnya.

2. Apabila seseorang itu terlupa sehingga luput waktu solatnya.

3. Apabila tersilap kiraan waktu solat sehingga terluput waktu yang sebenarnya.

4. Apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi darurat sehingga terluput waktu solatnya.



Demikianlah sahaja empat faktor yang dibolehkan bagi seseorang itu tidak mendirikan solat-solatnya yang fardhu lalu kemudian diqadhakannya di lain waktu.[2] Tertidur dan terlupa adalah suasana yang dimaafkan bagi seseorang yang tidak solat di waktunya lalu diqadhakan dalam waktu yang lain apabila dia terjaga atau teringat, berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam:

Barangsiapa lupa untuk solat atau tertidur, hendaklah dia menunaikan ia apabila teringat. Tidak ada hukuman selain dari itu.[3]

Nabi sallallahu-alaihi- wasallam juga telah bersabda dalam satu hadith yang lain: Sebenarnya tidak ada kecuaian dalam masa tidur, kecuaian hanya berlaku dalam masa sedar. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang terlupa solat atau tertidur hendaklah menunaikannya apabila dia teringat, kerana Allah Ta'ala telah berfirman: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku." [4]

Kedua-dua sebab di atas diberikan kemaafan oleh syari'at kerana ia adalah bentuk keuzuran manusia yang diluar kemampuannya. Akan tetapi kemaafan ini tidaklah diberikan kepada mereka yang sengaja lagi sedar bertujuan berbuat sedemikian. Contohnya orang yang sengaja tidur di akhir waktu solat padahal dia masih belum solat maka dia dipandang sebagai berdosa besar kerana sengaja mencari helah untuk tidak solat. Demikian juga hukum yang sama bagi orang yang sengaja menyibukkan dirinya dengan sesuatu yang sememangnya akan membawa kepada kelupaan seperti sengaja mengasyikkan diri dengan permainan sukan di akhir waktu solat sehingga tertinggal solatnya itu. Perbuatan sebegini membawa bebanan dosa yang amat besar ke atas orang itu dan dia selain wajib mengqadha solat tersebut, dituntut agar segera bertaubat dan memperbetulkan dirinya.

Termasuk dalam kategori orang yang tertidur, melalui kaedah qiyas, ialah orang yang pitam atau pengsan. Maka bagi mereka dimaafkan solat yang tertinggal itu akan tetapi apabila sedar semula wajib diqadha bilangan solat yang tertinggal. Akan tetapi dimaafkan secara terus orang yang diserang penyakit gila atau koma, di mana kedua ini adalah sejenis keuzuran yang berpanjangan dan orang yang menghadapi suasana ini diangkat darinya sebarang kewajipan agama, seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Orang yang menghadapi kondisi ini tidak perlu mengqadha solat yang tertinggal selama tempoh dia sedang gila atau koma. Walaubagaimanapun perlu dibezakan antara gila kerana penyakit atau gila kerana mabuk; di mana gila kerana mabuk adalah perbuatan sengaja manusia itu sendiri dan dia tetap diwajibkan mengqadha semula solat yang tertinggal apabila waras kembali.[5]

Kategori ketiga yang membolehkan solat diqadha ialah apabila seseorang itu tersilap dalam kiraan waktu solatnya. Contohnya ialah apabila seseorang yang bermusafir ke negara lain lalu tersilap dalam menentukan zon waktu negara tersebut, kemudian dengan itu disangkanya bahawa waktu solat itu masih hadir padahal sudah luput maka bagi dia tiada kesalahan kecuali tetap menunaikan solat tersebut secara qadha. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Maksud surah al-Ahzab 33 - 05] dan juga sabda Nabi sallallahu-alaihi- wasallam: Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta apa yang mereka lakukan kerana dipaksa.[6]

Kategori keempat yang membolehkan solat fardhu ditunda dari waktunya yang asal ialah dalam suasana darurat. Darurat ialah satu kondisi yang melibatkan keselamatan nyawa dan anggota seseorang itu atau orang-orang di bawah amanahnya (Life and Death situation). Dari sudut syari'ah ianya didefinasikan sebagai - Darurat itu ialah datangnya keadaan bahaya atau kesulitan yang amat berat kepada diri manusia, yang membuatkan dirinya kuatir akan terjadinya kerosakan atau sesuatu yang menyakiti jiwa, anggota badan kehormatan, akal harta dan yang bertalian dengannya.

Ketika ini boleh atau tidak harus mengerjakan yang diharamkan atau meninggalkan yang diwajibkan atau menunda waktu perlaksanaan guna bagi menghindari kemudaratan yang diperkira dapat menimpa dirinya selama tidak keluar dari syarat-syarat yang ditentukan syara'. [7]

Dalil yang membolehkan suasana darurat sebagai faktor membolehkan penundaan kewajipan solat dari waktunya ialah peristiwa yang berlaku di ketika Perang Khandak, di mana Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam dan para muslimin sekalian sedang berada di kegentingan peperangan mempertahankan Kota Madinah dari serangan musuh sehingga tidak berkesempatan untuk mendirikan solat Asar. Maka apabila serang musuh yang bertubi-tubi itu reda di waktu Maghrib, barulah Nabi sallallahu-alaihi- wasallam serta orang ramai berkesempatan untuk menunaikan solat Asar mereka, diikuti dengan solat Maghrib.

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menceritakan: Di ketika Perang Khandak Umar al-Khattab menyumpah-marah kaum kafir Quraish di ketika matahari sudah terbenam lalu berkata: Ya Rasulullah ! Saya tidak sempat mendirikan solat Asar dan matahari sudahpun turun ! Nabi sallallahu-alaihi- wasallam berkata: Demi Allah ! Aku juga belum solat ! Dengan itu kami turun ke Buthan (perigi air - P) dan Nabi berwudhu' dan kami juga berwudhu' dan kemudian kami mendirikan solat Asar setelah matahari terbenam diikuti dengan solat Maghrib.[8]

Maka dari hadith dan peristiwa di atas para ahli fiqh bersepakat menyatakan bahawa kondisi yang membolehkan seseorang itu menundakan solatnya ke waktu yang lain apabila dia berada dalam keadaan sedar ialah kondisi darurat sahaja. Diulangi bahawa darurat itu ialah suasana yang membahayakan nyawa seseorang itu atau mana-mana anggota tubuh badannya. Adapun keuzuran atau apa-apa halangan lain yang tidak membahayakan nyawa dan anggota maka ia tidaklah membawa kepada kelonggaran hukum mengqadhakan solat, sepertimana yang akan dihuraikan di bawah nanti.

Tertib Mengqadha Solat.

Solat-solat yang terluput dari waktunya wajib didirikan semula secepat mungkin apabila teringat dan sedar dari kondisi terdahulu kecuali ada sebab tulen yang menghalang seperti terikat dengan suasana cuaca buruk, amanah berat dan tanggung-jawab yang tidak dapat ditangguhkan. Solat yang tertunda juga wajib diqadha secara berturut dan bergiliran, tidak dengan pilihan yang rambang. Maksudnya ialah orang yang tertidur sehingga luput solat Asarnya dan kemudian terjaga di waktu solat Maghrib maka bagi dia ialah menunaikan solat Asar dahulu kemudian diikuti oleh solat Maghrib. Demikian juga kaedahnya bagi orang yang tertinggal beberapa solat sekali-gus, dia wajib mengqadhakan solatnya itu mengikut giliran dan turutan kemudian barulah mendirikan solatnya yang hadir. Kewajipan ini didasarkan kepada hadith di atas mengenai peristiwa Perang Khandak di mana Nabi sallallahu-alaihi- wasallam apabila terhalang solat Asarnya sehingga masuk waktu Maghrib, beliau mengqadha solat Asar itu terlebih dahulu kemudian baru diikuti oleh solat Maghrib.

Walaubagaimanapun kewajipan ini, berdasarkan ijtihad para fuqaha[9], dilonggarkan dalam beberapa suasana, iaitu -

1. Apabila waktu solat yang hadir hampir berakhir maka diharuskan mendirikan solat yang hadir dahulu kemudian diikuti oleh solat yang hendak diqadha.

2. Apabila sedang solat lalu tiba-tiba baru teringat akan solat yang tertinggal maka dibolehkan meneruskan solat itu sehingga akhir kemudian disusuli dengan solat yang perlu diqadha itu.

3. Apabila solat yang perlu diqadha itu melebihi solat sehari, iaitu melebih 5 waktu maka dilonggarkan kewajipan mengqadhanya mengikut turutan akan tetapi tetap wajib diqadhakannya secepat mungkin.


Disini perlu diperbetulkan perbuatan sesetengah yang memilih-milih secara rambang tentang bilakah dia akan mengqadha solat yang tertinggal dan mengikut suka hati solat apa yang hendak diqadhakan dahulu. Sumber-sumber nas jelas menerangkan bahawa solat adalah ibadah tunggak seorang muslim dan apabila tertinggal ia wajib diqadha secepat mungkin menurut turutan dan gilirannya. Adapun memilih-milih sesuka hati bilakah akan diqadha solat yang tertinggal dipandang sebagai satu perbuatan meremahkan solat dan mempermainkan tanggung-jawabnya terhadap Allah Azza waJalla dan orang sebegini dituntut agar segara bertaubat dan memperbetulkan perbuatannya itu.

Isnin, 15 Mac 2010

Perjalanan Cuti Dari Kluang Ke Bangi


13 Mac 2010...bertolak dari Kluang...hampir pukul 10.30...melalui lebuhraya Selatan ke Utara...kenderaan bertali arus...hampir 120km/j.Perjalanan berjalan lancar.Hampir 2 jam perjalanan kami berhenti di kawasan Rehat Pagoh untuk mengisi perut kerana agak kelaparan dan kehausan. Alhamdulillah ,nasi putih berlauk dan mee sop menjadi santapan tengahari kami.

Kami meneruskan perjalanan dalam keadaan hujan gerimis dan cuaca yang agak panas...memulakan semula perjalanan dengan doa agar..perjalanan kami selamat dari mara bencana. Fateh Hamdan (anak kedua ustazah)juga berdoa. Apabila ditanya oleh abinya..apa yang didoakan oleh Fateh...jawab Fateh.."moga perjalanan kita selamat dari segala bala bencana" Alhamdulillah anak seusia Fateh (10 tahun) sudah pandai berdoa untuk keselamatan dalam perjalanan pergi dan balik.

Setelah itu,Fateh dan Nasyeha telah melelapkan mata..meneruskan perjalan hingga terlihat papan tanda kawasan rehat Air Keroh...kenderaan terus menerus bertali arus...tiba-tiba di hadapan kami sebuah kancil tiba-tiba ke tengah hampir 1 cm dari kenderaan kami...namun Alhamdulillah..tiada berlaku apa-apa...dan kami terperanjat apabila kenderaan di belakang membunyikan "hon"...syukur kepada Illahi...kami terpelihara dari malapetaka ini.

Kami meneruskan perjalanan lagi walaupun di hati masih bergenta gementar dengan peristiwa sebentar tadi...lebih kurang 5 km ...ke hadapan tiba-tiba kenderaan bergerak perlahan..ada apa ni? "Roadblock" ke atau ada kemalangan? Bermacam-macam perasaan bermain di benak hati kami.

Sepanjang pergerakan perlahan ini kami dapati pembahagi jalan ...ada kesan rempuhan...pasti berlaku kemalangan ...ya betul...sebuah kereta Toyota Vios telah remuk di hadapan dengan "bumper" dan "lampu sisi" tertanggal...telah menghentam sebuah NAZA Ria....berwarna hitam kedua-duanya...di tepi lebuhraya..kelihatan seorang wanita yang kelihatan terperanjat dan seorang anak seusia Fateh. subhanallah....rupa-rupanya kemalangan itu tidak berbau.

Sesungguhnya...dipohon kepada Allah sebelum bermusafir ialah dengan membaca doa dan solat sunat musafir...mudah-mudahan perjalanan musafir kita terhindar dari sebarang bala bencana dan malapetaka. sesungguhnya Allah itu maha mengetahui segala-galanya. Hanya pada Allah kita serahkan...namun usaha,doa dan tawakal pastinya diseiringkan....Wallahu'alam

Rabu, 10 Mac 2010

Keputusan SPM 2009 diumumkan hari ini




11 Mac 2010..keputusan SPM seluruh Malaysia telah diumumkan dan para pelajar lepasan SPM 2009 akan mengambil keputusan bermula jam 11 pagi.Berpusu-pusu pelajar memasuki ruangan bilik peperiksaan untuk mengambil keputusan mereka.

Pelbagai gelagat dan raut wajah dapat diperhati ...gementar,berdebar dan seribu satu perasaan apabila hendak melangkahkan kaki...menerima keputusan..cemerlang,baik,memuaskan,sederhana atau gagal.

Wajah-wajah ceria,gembira,duka dan sedih dapat dilihat apabila anak-anak keluar dari bilik peperiksaan setelah menerima sekeping kertas..putih...."Lembaga Peperiksaan Malaysia..Keputusan SPM 2009"....

Walau bagaimana pun..Tahniah diucapkan kepada guru-guru (warga pendidik SMKJKT)kerana telah berjaya mendidik anak-anak menjadi insan yang berjaya. Tahniah buat SITI KHADIJAH BT.MASRAN atas kejayaan cemerlang beliau iaitu telah memperolehi 12A...syabas buatmu SITI KHADIJAH...moga Khadijah terus berjaya menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Amin ya-rab-al-amin...anak-anak didikku sekelian...buat yang berjaya teruskan perjuangan ...tuntutlah ilmu sebanyak mungkin...hingga ke liang lahad..kerana ilmu itu terlalu banyak untuk dikaji dan diperolehi....buat anak-anak yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan...masih banyak lagi peluang untuk kamu menimba ilmu...selagi ada kemahuan di situ ada jalan untuk mencapai kejayaan.

Jangan mudah berputus asa...putus asa dan mudah kecewa itu..hanya mainan syaitan...biarkan bisikan syaitan itu..berkubur...bangkitlah semula untuk menjadi insan dan umat Islam yang berilmu dan bertamadun.Kembalikanlah kegemilangan umat Islam...agar kita menjadi umat yang digeruni dan disanjung kerana ilmu dan akidah kita.

Jumaat, 5 Mac 2010




PERMASALAHAN QADA SOLAT BAGI YANG MENINGGALKAN SOLAT TANPA UZUR


بسم الله الرحمن الرحيم

Keuzuran yang syar’ie yang membuatkan seseorang itu tidak berdosa ketika meninggalkan solat ialah gila, terlupa atau tertidur, dipaksa, sudah menunaikan solat secara jamak, ketakutan yang bersangatan kerana ancaman keadaan (seperti yang berlaku ketika peperangan khandak lihat dalam Bukhari no. 598).

Adapun selainnya baik lelaki dan perempuan yang berakal, Islam, serta telah baligh maka baginya kewajipan yang ditetapkan supaya mendirikan solat.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Bersabda rasulullah salallahualaihiwasa lam : “ Sesungguhnya antara (pembatas) seorang lelaki itu dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat” (hadith sahih riwayat Muslim no. 987, Abu Daud, Nasaie).

Perintah menunaikan solat ialah satu kewajipan sehingga bagi yang sakit tidak terlepas dari kewajipan menunaikannya selama mempunyai akal apabila Islam memberi kelonggaran supaya harusnya menunaikan solat dengan keadaan duduk, berbaring dan bahkan dengan gerak isyarat mata atau sehingga jika tidak mampu cukup dengan lintasan hati selama ianya masih sedar dan berakal.

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (At-taghabun :16).

Juga sekiranya tiada air demi bersuci dan berwudhuk maka Islam membolehkan bertayamum mengunakan debu tanah yang berada di sekeliling dunia.

“ Apabila kamu tidak menemui air maka bertayammumlah dengan debu tanah yang suci..” (Al-maidah : 43)

Perbuatan meninggalkan solat ialah dosa besar dan termasuk salah satu di antara dosa yang boleh membawa kufur kepada pelakunya. Sekiranya ada sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya dan membenci perbuatan solat yang merupakan ibadah ini dan menganggap menyusahkan maka ianya tanpa syak kufur dan murtad dari agama Islam dengan ijmak ulama (Al-Majmuk m/s 16 Jilid 3, Hukum Meninggalkan Solat oleh Ibn Qayyim).

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Adapun yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai kerana dunia dan dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan solat dan tidak pula bermaksud mengingkari perintah Allah maka baginya hukum fasiq dan munafiq namun masih tetap dianggap muslim dan dipelihara haknya sebagai muslim tetapi tetap wajar menerima hukuman dan teguran. Demikian mazhab As-Sauri , Abi Hanifah dan golongan Maliki serta Syafie dan Ahmad dari riwayat-riwayat lain yang darinya (lihat Mughni Muhtaj, Al-Majmuk dll).

Sekalipun mereka ini yang berpendapat tidak jatuh kafir bagi orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai namun para ulama ini tidak pula bermaksud mengambil pandang ringan kerana mereka tetap menetapkan perlaku dosa besar meninggalkan solat ini mesti dihukum dengan hukuman bunuh dan ini pendapat Maliki serta Syafie.

Adapun pendapat yang mengatakan mereka ini tidak dibunuh sebaliknya disebat dan dipenjara sehingga mati atau bertaubat nasuha dan ini pula ialah pendapat dari mazhab Az-Zuhri dan Ibn Musayyib serta Umar Ibn Abd Aziz dan Abu Hanifah dan Ibn Hazm.

Manakala sebahagian yang lain tetap mengkafirkan golongan ini yang meninggalkan solat tanpa uzur sekalipun tidak menolak kewajipan solat dengan menjatuhkan hukum kafir dan murtad dari Islam kerana meninggalkan solat yang merupakan rukun Islam dan mereka ialah mazhab Said ibn Jubair , Auzaie, Ibn Mubarak, Ishaq dan riwayat yang sahih dari Imam Ahmad dan salah satu qaul dari mazhab Syafie serta Ibn hazm dengan riwayat daripada Umar ibn Khatab , Muadz ibn Jabal dan Abd rahman ibn Auf serta Abi Hurairah dan selainnya dari sahabat rasulullah ra (lihat dalam Al-Insof, Majmuk Fatawa, Hukum Meninggalkan solat oleh Ibn Qayyim).

Pelbagai khilaf dan hujah serta dalil dalam masalah ini namun saya tidak berhajat memanjangkan bicara dalam masalah khilaf ini sebaliknya terus kepada isi pokok perbincangan iaitu tentang perihal qadha solat bagi yang meninggalkan solat tanpa uzur.

Ketahuilah baik salah satu diantara kedua kedudukan hukum golongan yang meninggalkan solat apakah kafir atau fasiq dan munafiq maka keduanya berdosa besar dan bukanlah ringan dan baik sebaliknya tercela dan dibenci dengan kemurkaan Allah swt.

Pendapat yang membolehkan dan mewajibkan qadha bagi yang meninggalkan solat ialah mazhab jumhur ulama daripada imam mazhab yang empat dan ianya dengan syarat hendaklah perlakunya yang meninggalkan solat tanpa uzur itu selain berqadha solatnya yang telah ditinggalkan maka hendaklah juga bertaubat dengan taubat nasuha atas dosa besarnya itu (lihat dalam Al-Majmuk, Al-Insof dll).

Bukanlah bermakna bolehnya qadha solat itu maka diri pembuat dosa boleh terselamat dan terampun dosa sebaliknya hanya usaha ikhtiar selain taubat nasuha bagi menebus kesalahan yang telah dilakukan.

Adapun pendapat selainnya yang mengatakan tiada qadha bagi solat yang ditinggalkan ialah pendapat Umar ibn Khattab dan ibn Umar serta Sa’ad ibn Abi Waqas dan Ibn Mas’ud ra, Ibn Sirrin , Ibn Hazm, dan juga pendapat daripada Syeikhul Islam ibn Taimiyyah ra serta jumlah besar dari salaf soleh yang lain.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Demikian jumlah besar menolak adanya qadha solat dengan dalil bahawa solat ini satu kewajipan yang dibuat hanya pada waktunya bukan diluar waktunya (lihat Al-Muhalla ibn Hazm, Majmuk Fatawa, Nailur Authar dll).

Dalam hal ini satu keputusan dapat diambil bahawa golongan yang menolak adanya qadha solat ialah kerana selain menetapkan solat dilaksanakan pada waktu khas dan jika selainnya tidak lagi dikira maka mereka juga mengkafirkan peninggal solat sehingga tiada guna menunaikan qadha lagi.

Keadaan ini dapat diselesaikan hanya apabila orang yang meninggalkan solat ini bertaubat dan kembali dengan taubat nasuha serta di sini mereka diwajibkan melakukan qadha.

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sersungguh-sungguh) moga tuhanmu akan menghapuskan dosa-dosa kamu …” (At-Tahrim : 8).

Maka bagi yang bertaubat dengan taubat nasuha maka hendaklah dia mengulangi segala solat yang telah ditinggalkan dengan melakukan solat pada waktunya dan memperbanyakkan solat-solat sunat.

Ini berdasarkan kepada hadith rasul yang menyebut : “Sesungguhnya yang paling awal akan dihisab di hari akhirat daripada amal perbuatan ialah solat dan sekiranya baik (solatnya) maka telah berjaya dan selamat dan sekiranya rosak (meninggalkan) solatnya maka gagal dan rugilah dia serta jika berkurang pahala dari solat wajibnya maka akan berkatalah tuhan yang Mulia dan tinggi : Lihatlah apakah hambaku ini ada melakukan solat sunat dan tampunglah apa yang kurang dari yang wajib dan kemudian jadikanlah seluruh amalannya seperti itu” (hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi dan Ibn Majah).

wallahualam

Oleh : Ustaz Emran

Rabu, 3 Mac 2010

Istimewanya Solat Dalam Islam


1. Solat adalah tiang agama : Nilai "agama'" bagi seorang hamba diukur dengan kepatuhannya menjadikan ibadat solat sebagai ibadatnya yang paling utama.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : 'Inti penyelesaian semua urusan adalah Islam dan tiangnya adalah solat' (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Sabda Baginda lagi yang membawa maksud : "Solat adalah tiang agama . Sesiapa yang mendirikan solat dia mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat,dia meruntuhkan agama "


2. Solat adalah rukun Islam kedua: selepas ucapan dua kalimah syahadah ,solat adalah kewajipan pertama yang perlu dilunaskan oleh setiap umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Islam itu disempurnakan dengan lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah,mendirikan solat,menunaikan zakat,puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji" (Hadis Riwayat Bukhari,Muslim,Tirmidzi,Nasa'ie dan Ahmad)

3. Solat adalah ibadat yang pertama diwajibkan oleh Allah SWT ke atas setiap muslim mukallaf. Rasulullah SAW menerima perintah supaya mendirikan solat daripada Allah SWT ketika baginda menemui Allah SWT pada malam peristiwa Isra' Mikraj,di mana pertemuan secara langsung tanpa perantaraan malaikat Jibril.

4. Solat adalah ibadat pertama yang akan dihisab di akhirat kelak :Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud : " Sesungguhnya amalan manusia pertama yang akan dihisab pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka beruntunglah dia dan sekiranya buruk ibadat solat maka rugilah ia" (Hadis Riwayat Tirmidzi,An-Nasa'ie,Ibnu Majah ,Ahmad dan Darimi)

5. Solat adalah perkara terakhir yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.
Sewaktu Rasulullah SAW jatuh sakit menjelang kewafatannya baginda berpesan kepada para sahabat. Sabda baginda ; " Ingatlah (solat)....ingatlah solat...

6. Solat adalah kunci pintu syurga : sesiapa yang ingin masuk syurga sudah tentu ada kuncinya,berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Jabir Ibnu Abdullah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : Kunci syurga adalah solat dan kunci bagi solat adalah wuduk"

7. Solat adalah penghubung antara hamba dengan TuhanNya (Allah SWT): Sabda Rasulullah SAW bermaksud : " Diriwayatkan dari Anas ibnu Malik R.A bahawa Rasulullah bersada "Sesungguhnya apabila seorang antara kamu mendirikan solat bererti dia sedang berkomunikasi dengan Allah SWT" (Hadis Riwayat Bukhari)

8. Solat adalah cahaya penerang bagi orang-orang mukmin

"Diriwayatkan dari Anas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda : dan solat itu adalah cahaya penerang seorang mukmin"

9. Solat adalah benteng yang memisahkan seseorang dengan kekufuran
Diriwayatkan dari Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :"Antara seorang hamba dengan kekufuran itu ada batas pemisah iaitu perbuatan meninggalkan solat"
(Hadis riwayat Tirmidzi,Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kepada mereka yang meninggalkan solat,mereka akan mendapat azab yang amat pedih daripada Allah SWT di akhirat kelak iaitu akan dimasukkan ke dalam neraka.



(rujukan utama : buku "Solat dan Keajaibannya" karangan Dato'Haji Ishak Baharom )

Isnin, 1 Mac 2010

RENUNGKAN BUAT SEKETIKA


MENANGISLAH SEMAHUNYA

بسم الله الرحمن الرحيم



Ketika kanak-kanak,
menangis ku kerana haus dan lapar..
menangis ku kerana inginkan belaian hangat ibu di tubuhku,
menangis ku kerana inginkan barang permainan,
menangis ku kerana inginkan perhatian dari ayah dan ibu setiap masa.

Ketika usiaku menjangkau awal remaja,
menangis ku kerana rakan-rakanku,
menangis ku kerana gelojak rasa sayang terhadap kaum yang bertentangan dengan jantinaku,
menangis ku kerana aku gagal dalam bercinta,
menangis ku kerana aku gagal atau cemerlang dalam peperiksaan,
menangis ku juga kerana ada ketika aku berjaya menarik perhatian gadis dan jejaka,
menangis ku kerana kesepian tanpa rasa rindu dan cinta pada hamba ciptaanNya.

Ketika usiaku menginjak dewasa,
aku mungkin menangis kerana susahnya menempuh alam pekerjaan,menuntut seluruh kosentrasiku, memerah keringatku,
menangis aku kerana anak-anak ku,
menangis ku kerana isteri atau suamiku,
menangis aku kerana tidak punya kereta besar atau rumah yang sempurna,
menangis ku kerana tidak mampu memberi kesenangan harta benda kepada keluargaku.

Ketika usiaku berada di penghujung..
aku menangis kerana gagal memberi kesenangan kepada keluargaku,
menangis aku kerana kesihatanku yang sudah mula merosot,
menangis aku kerana anak-anakku pergi meninggalkan aku berkhidmad utk keluarganya,
menangis aku kerana jarum silih berganti menusuk kulitku,
menangis aku kerana aku bakal meninggalkan dunia,sedangkan aku masih belum MENANGIS KERANA AKU LALAI PADA PERINTAHNYA! !

mungkin kita tergolong dalam salah satu rentetan usia tersebut.. kita sentiasa menangis untuk perkara2 remeh meliputi hal2 duniawi..tapi kita selalu alpa untuk menangis atas kejahilan kita mengenal YANG MAHA ESA,kita sibuk mengumpul ilmu serta harta dunia,sehingga kita lupa utk menangis atas kurangnya harta serta saham utk alam abadi kelak,kita menangis kerana hilangnya cinta pada kekasih,isteri atau suami serta anak2,tetapi kita alpa untuk menangis atas KEHILANGAN NIKMAT IMAN SERTA KASIH ALLAH KEPADA KITA.Kita menangis kerana kecacatan fizikal yang diberi Ilahi,namun kita gagal untuk menangis tanda syukur atas nikmat lain yang diberi tanpa meminta secebis balasan sekalipun..

renung-renungkanlah ..saya mengingatkan diri saya yang selalu lupa untuk MENANGIS keranaNya..sebagai panduan kita bersama.